Tonggak skuad hoki remaja negara, Muhammad Akhimullah Anuar Esook, di landasan tepat untuk mengikut jejak langkah idolanya, Faizal Saari, selepas meledak 16 gol ketika
membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Remaja 2018 di Argentina, Oktober depan.


Malaysia menamatkan kempen hoki Kelayakan Sukan Olimpik Remaja Bawah 18 tahun (Asia) 2018 di Stadium Ratu Sirikit, Bangkok Thailand, semalam dengan cemerlang apabila skuad lelaki muncul naib juara.

Walaupun sekadar menamatkan saingan di tempat kedua, namun pujian harus diberikan kepada mereka yang cemerlang bangkit daripada ketinggalan 2-4 untuk mengikat India 4-4 dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan dan berjaya mengheret permainan hingga ke penentuan shoot-out, namun akur tewas 1-2.

Kejayaan skuad lelaki negara beraksi di pentas final membawa mereka dan India mewakili Asia untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina yang akan berlangsung dari 6 hingga 18 Oktober depan.

Di atas kejayaan ini, 16 gol yang dijaringkan oleh Akhimullah dilihat di landasan untuk mengikut jejak langkah sandaran skuad senior negara, Faizal, tetapi pemain berusia 18 tahun itu lebih mengagumi Fitri Saari yang memiliki teknik kawalan bola yang lebih menarik.

"Dia mungkin idola saya dan saya akan cuba bermain sepertinya. Selain itu, saya juga mengagumi adiknya, Fitri Saari, terutamanya teknik kawalan bola yang ditunjukkan," katanya.

Akhimullah turut menyifatkan hasil kerjasama ssepasukan membantunya meledak gol dalam usaha memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Remaja Argentina.

"Rakan sepasukan telah membantu saya dalam menghasilkan 16 gol tersebut. Saya dapat mengemudi pasukan sehingga ke final.

"Untuk aksi di Argentina nanti, kami akan melakukan persiapan dengan lebih baik, daripada segi teknik yang perlu dipertajamkan serta kekuatan mental dan fizikal," tambahnya.