Lima calon daripada kem B yang diketuai naib presiden, Datuk Manjit Majid Abdullah, membuat pusingan U menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang ke-66, Sabtu ini, yang turut menyaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, menarik diri daripada jawatan timbalan presiden.

Manjit sebelum ini mengumumkan calon timbalan presiden wanita, K. Maheshwari, begitu juga calon naib presiden yang terdiri daripada dirinya sendiri, Datuk Ow Soon Kooi serta Datuk Che Khalib Mohamad Noh, mahu menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan proses pencalonan yang dijalankan oleh KHM.

Situasi itu menunjukkan pusingan U seperti yang dilakukan presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, dan timbalan presiden, Prof Datuk Dr. S. Shamala, dan ini bermakna hanya seorang calon yang benar-benar menarik diri, iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah atas beberapa faktor.

Situasi tersebut secara tidak langsung menyaksikan pertembungan dalam semua jawatan kecuali Subahan yang sah mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding.

Ikuti perkembangan lanjut dalam Nadi Arena malam ini