Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Manjit Majid Abdullah, mengotakan janji dengan menghantar surat menarik diri daripada mesyuarat agung tahunan (AGM), Sabtu ini walaupun tarikh tutup berbuat demikian adalah Jumaat lalu.

Manjit menjelaskan beliau dan beberapa calon daripada pasukannya mula menghantar surat menarik diri sejak semalam.

Walaupun sudah melepasi tarikh akhir berbuat demikian, namun berdasarkan perlembagaan KHM, calon boleh menarik diri sejam sebelum AGM bermula.

"Saya sudah hantar surat kepada KHM bahawa saya tidak akan bertanding.

"Kami (yang terdiri daripada) K. Maheshwari, Datuk Ow Soon Kooi dan Datuk Che Khalib Mohamad Noh telah menarik diri.

"Jadi, tidak timbul isu pusingan U. (Memandangkan) kami sudah umumkan (penarikan diri), maka kami akan kekalkan pendirian," jelasnya di ibu kota, hari ini.

Tambahnya: "Surat menarik diri telah diserahkan semalam dan ada juga yang diemel pagi tadi.

"Kami sudah umumkan dalam sidang media kerana tidak berpuas hati (dengan proses pencalonan). Kami tidak mahu bertanding lagi, jadi kami menarik diri."

Tindakan itu diambil apabila calon presiden, Datuk Kamaruddin Meranun, tidak layak bertanding kerana hanya mendapat dua pencalonan kerana berdasarkan perlembagaan KHM, seseorang calon itu perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga pencalonan.

Ini bermakna penyandang, Datuk Seri Subahan Kamal, menang tanpa bertanding jawatan presiden.