Roelant Oltmans menghadirkan isyarat mampu menjadi jawapan untuk membawa hoki negara ke tahap lebih baik setelah cemerlang mengemudi Malaysia menduduki tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018, sekali gus lulus ujian pertamanya.

Biarpun kesuntukan masa, dengan hanya dilantik oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dua minggu sebelum bermulanya saingan, Roelant berjaya menjelmakan keputusan positif di Oman.

Apatah lagi, beliau terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak utama seperti Fitri Saari yang menghadiri majlis konvokesyen, Izad Hakimi Jamaluddin yang meninggalkan kem negara seketika selain kecederaan yang menimpa pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim.

Mengakhiri saingan di tempat ketiga bermakna Malaysia mengekalkan kedudukan itu untuk empat edisi berturut-turut sejak 2011.

"Tahap enam pasukan di Asia ini hampir sama sahaja.

"Pasukan mana yang mengambil kesempatan dan kurang melakukan akan menang, itulah yang berlaku.

"Jurang kami dengan India dan Pakistan tidak jauh. Ada hari kami boleh menang, kalah atau seri, bergantung kepada hari perlawanan tersebut," ujar ketua pasukan negara, Sukri Mutalib.

Skuad negara tiba di Malaysia awal pagi tadi tanpa Oltmans yang pulang bercuti di Belanda.

Kurang sebulan lagi, tugasan besar menanti The Malaysia Hockey Tigers dalam Kejohanan Piala Dunia di India yang bermula 29 November ini.

"Kejohanan pertama kami di bawah kendalian Oltmans berakhir dengan kejayaan meraih medal.

"Kami perlu segera menyesuaikan diri dengan sistem permainannya," kata penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol, Faizal Saari.