Skuad hoki negara bukan sahaja mahu mendapat keputusan terbaik dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018, namun lebih utama adalah menganalisis kekuatan Pakistan menjelang saingan Piala Dunia di Bhubasneswar, India yang bermula 28 November ini.

Sebulan daripada sekarang, Malaysia bakal berentap dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia dan The Malaysian Hockey Tigers diletakkan sekumpulan bersama Pakistan selain juara dunia dua kali, Jerman, dan juga pasukan ranking keempat dunia, Belanda.

Bagaimanapun, penekanan khusus diberikan kepada Pakistan memandangkan pertemuan dengan mereka sahaja mampu mencerahkan peluang Malaysia mengutip mata dan cuba layak ke pusingan seterusnya.

Empat pertemuan antara kedua-dua negara sepanjang tahun 2018 menyaksikan Pakistan seri sekali, dan menang tiga, dengan kali terakhir dalam separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) tempoh hari.

"Apabila kita melihat daripada sudut positif menjelang Piala Dunia, Pakistan merupakan pasukan yang baik dan kami perlu berhati-hari bertemu mereka," kata pengurus skuad negara, Stephen Van Huizen.

Positifnya, beberapa aspek taktikal sudah menampakkan peningkatan biarpun kempen Malaysia di Oman tanpa kehadiran tonggak seperti Fitri Saari, Razie Abd Rahim mahupun penjaga gol, S. Kumar, yang langsung tidak diturunkan.

"Apa yang saya perhatikan ketika di Oman adalah kami perlu memperbaiki 'counter control' di mana apabila kami menyerang, kami perlu bersedia untuk berdepan dengan lawan yang akan kembali menyerang," kata kapten negara, Sukri Mutalib.

Sementara itu, kejayaan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 membangkitkan lagi semangat penyerang negara, Faizal Saari, menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia.

Dalam kejohanan itu, Faizal berjaya meledak lapan gol secara keseluruhan, sekali gus membantu skuad negara ke separuh akhir.

Ini bukan kali pertama Faizal merangkul status sebagai penjaring terbanyak dalam rantau ini apabila pernah mengecapi kejayaan sama ketika Piala Asia 2017.

"Saya hanya memanfaatkan peluang yang ada dan kejayaan ini akan membakar semangat saya dalam Piala Dunia yang akan datang.

"Saya akan memberikan aksi terbaik dalam Piala Dunia nanti untuk membuktikan Malaysia tidak ketandusan penyerang hoki yang baik," kata Faizal.