Selepas melihat prestasi tidak menentu atlet negara di Gold Coast, Chef-de-mission negara, Huang Ying How, menimbulkan persoalan sama ada Malaysia perlu memberi keutamaan kepada Sukan Komanwel pada masa depan.

Asas yang dibangkitkan Ying How adalah kebanyakan atlet negara melalui jadual pertandingan yang padat sebelum atau selepas Sukan Komanwel.

Perkembangan itu membuatkan ada sebahagian mereka berdepan kelesuan fizikal atau mental yang mampu membawa kepada isu lebih serius seperti kecederaan, seperti apa yang berlaku kepada Azizulhasni Awang dalam sukan berbasikal dan beberapa atlet badminton.

"Kami harus membuat keputusan sama ada Sukan Komanwel benar-benar menjadi pentas utama untuk meraih kejayaan kerana terlalu banyak sukan yang mengharungi kejohanan besar sebelum dan selepas temasya itu.

"Sebagai contoh, berbasikal menghadapi satu kejohanan kira-kira tiga minggu sebelum Komanwel. Kami harus tahu apa kemahuan sebenar.

"Banyak sukan yang berdepan kejohanan lain sebaik sahaja tamat aksi di Gold Coast. Sukan terjun paling sibuk kerana menghadapi kejohanan sebelum dan selepas Sukan Komanwel," katanya.

Beliau juga memberi cadangan agar satu kerjasama penyelarasan jadual pertandingan melibatkan atlet sebelum mereka hadir ke satu temasya besar seperti Sukan Komanwel perlu diwujudkan sebagai usaha untuk memastikan mereka berada di tahap terbaik.

"Apa yang ingin saya sampaikan adalah kita meletakkan tekanan yang melampau kepada atlet-atlet, mereka berdepan kejohanan lain sebelum dan selepas Komanwel. Mereka tidak dapat beraksi dengan baik kerana terlalu penat," tambahnya.