Penerjun lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman, menganggap ia satu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku apabila dia tergelincir dalam terjunan terakhir pusingan kelayakan 3 meter papan anjal Sukan Komanwel 2018, semalam.

Amsyar mengakui kecewa apabila mengakhiri saingan Sukan Komanwel dengan insiden berkenaan tatkala dia sudah mengungguli kelompok 10 terbaik dalam empat terjunan awal.

Terjunan terakhir pasti memberikan kesan mendalam buat dirinya apabila tergelincir dan menjejaskan jumlah mata yang telah dikumpul, sekali gus tersingkir untuk ke final.

Hanya satu kesilapan terus memusnahkan harapan pemenang pingat emas Sukan SEA ini memandangkan ini merupakan acara terakhirnya di Gold Coast.

“Kesilapan yang berlaku itu adalah di luar jangkaan kerana segalanya baik sewaktu sesi latihan. Angin juga kuat kerana beraksi di kolam terbuka, ditambah dengan cuaca panas dan hujan yang tidak menentu. Saya dapat menyesuaikan diri tetapi tidak begitu sempurna,” kata Amsyar.

Bagaimanapun, Amsyar bersedia untuk menerima segala kritikan selepas ini dan mengambil positif apa yang telah berlalu dalam Sukan Komanwel edisi ini.

“Sebelum ini ada juga aksi buruk yang berlaku dan saya sendiri sudah tidak begitu kisah. Kadangkala semuanya baik dan perkara sebaliknya boleh berlaku. Itu perkara biasa, jika buruk akan dikritik, apabila bagus akan disifatkan bagus.

“Saya perlu tenang dan sabar. Jika Tuhan mahu memberikannya, saya akan dapat juga kejayaan itu,” tambahnya.