Ragbi: Kategori wanita tambah seri Sukan Komanwel 

Oleh Staff Writer 18 April 2018 3225
Ragbi: Kategori wanita tambah seri Sukan Komanwel 
Sukan ragbi 7's dalam Sukan Komanwel 2018 mencipta keunikan tersendiri kerana buat julung kalinya, kategori wanita diperkenalkan dengan penyertaan lapan negara. 

Antara pemain yang cukup teruja ialah kapten England, Abigail Brown, yang gembira kerana setelah menunggu sekian lama, ragbi wanita mendapat pengiktirafan di pentas Sukan Komanwel. 

Tambahan pula, dengan suasana cukup hebat sepanjang aksi di Stadium Robina, Brown melihat ia satu dimensi baru untuk ragbi wanita menikmati kemeriahan sama seperti kategori lelaki. 

Malah, dia berharap ragbi wanita akan terus dikekalkan apabila giliran England di bandaraya Birmingham bakal menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022.

"Ia sangat hebat, boleh lihat riak wajah saya. Sudah tentu ia satu penghormatan dapat beraksi di sini dalam Sukan Komanwel.

"Kami melakukan yang terbaik seperti apa yang kami mampu lakukan dan membuktikan wanita boleh bermain di seluruh dunia.

"Kami datang ke sini dengan sensasi. Sudah tentu permulaan baik ini akan diteruskan," kata Brown.

Selain England dan Australia selaku tuan rumah, New Zealand, Kanada, Kenya, Fiji, Afrika Selatan dan Wales turut mengambil bahagian. 

Diharapkan pada 2022, kemungkinan skuad ragbi tujuh sepasukan wanita negara mahu mengambil bahagian.

Setelah pasukan lelakinya menjadi juara, New Zealand merangkul emas pertama ragbi 7’s wanita dalam Sukan Komanwel.

Tuan rumah, Australia memenangi pingat perak manakala England menewaskan Kanada untuk gangsa. 


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen