Program Podium masih diperlukan

Oleh Staff Writer 17 April 2018 370
Program Podium masih diperlukan
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyifatkan Program Podium masih relevan, namun ia perlu ditambah baik.

Mengulas mengenai cadangan untuk meletakkan Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengetuai program itu, Norza berasa ia perlu diputuskan Menteri Belia dan Sukan yang baru selepas Pilihanraya Umum Ke-14.

Bagaimanapun, Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menolak Program Podium memerlukan sedikit perubahan untuk diperkasakan.

"Sudah tentu, selepas apa yang berlaku dalam Sukan Komanwel, terutama pencapaian atlet dan jurulatih, (soalnya) bagaimana untuk memperkasakan Program Podium agar lebih bersedia dalam Sukan Asia," katanya.

Kontinjen negara menamatkan saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan kutipan tujuh pingat emas, mengatasi pencaian enam emas di Glasgow pada 2014 tetapi gagal mencapai sasaran 10 tempat terbaik keseluruhan.

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Huang Yin How, berasa Program Podium telah membantu beberapa sukan mencapai peningkatan dan skuasy adalah contoh terbaik.

Pemain perseorangan lelaki, Mohd Nafiizwan Adnan, mencipta sejarah apabila meraih gangsa manakala pemain-pemain muda lain turut menunjukkan peningkatan walaupun gagal membawa pulang pingat.

"Nafiizwan membuktikan bahawa Program Podium berkesan terhadapnya. Bukan sahaja meningkatkan prestasinya daripada segi kecergasan dan teknik, malah mereka turut menyediakan analisis perlawanan. 

"Atlet yang yakin dengan nasihat jurulatih dan menggunakan analisis perlawanan, mereka mampu menumpaskan pemain terbaik di dunia jika mereka dapat beraksi mengikut percaturan. 

"Sistem ini berkesan, saya harap pemain muda, bahkan bukan sahaja daripada sukan skuasy, perlu meluas dan mempertingkatkan lagi (penggunaan kemudahan Program Podium). 

"Kalau tidak, kita akan ketinggalan," ujar Ying How. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen