Atlet powerlifting para negara, Jong Yee Khie, memadamkan rekod peribadi terbaiknya untuk merangkul pingat perak dalam kategori heavyweight, Sukan Komanwel di Arena Sukan Carrara, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu -- memiliki catatan terbaik 212kg yang dilakukan dalam Piala Dunia Powerlifting IPC di Kuala Lumpur pada 2016 -- membuat angkatan seberat 220kg dalam percubaan ketiga untuk menghadirkan perak dalam kelas perdana itu.

Dalam dua percubaan terdahulu, dia melakukan 205kg dan 213kg, dengan mengumpul mata kedua terbanyak, iaitu 188.7.

Emas acara itu dimenangi wakil Nigeria, Abdulazeez Ibrahim, yang mengumpul 191.9 mata selepas melakukan angkatan 220kg dan 210kg sementara gangsa menjadi milik Sachin Chaudhary (181.0 mata) dari India.

"Saya sangat gembira. Semasa datang ke sini, saya hanya mahu melakukan 215kg tetapi saya berasa boleh melakukan dengan lebih baik.

"Saya berbincang dengan jurulatih, saya katakan saya mahu melakukan 220kg. Saya tahu saya boleh lakukan," kata Yee Khie.

Dalam temasya di Glasgow empat tahun lalu, Yee Khie meraih pingat gangsa dan ditanya mengenai peluangnya untuk menggengam emas selepas ini, atlet berusia 29 tahun itu berkata: "Ya, selepas ini emas pula.

"Saya memang mahu memenangi emas dalam Komanwel seterusnya. Saya mahu mencapai kejayaan lebih tinggi."