Kudrat Chong Wei, Nicol masih ditagih

Oleh Staff Writer 16 April 2018 1110
Kudrat Chong Wei, Nicol masih ditagih
Arena sukan negara masih memerlukan Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David selepas saingan Sukan Komanwel 2018 walaupun mereka berdua mungkin boleh memikirkan soal persaraan atas faktor usia.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham, mengakui kagum dengan prestasi yang ditampilkan Chong Wei dan Nicol di Gold Coast sambil membayangkan mereka berdua masih mampu menyumbang untuk tempoh beberapa tahun lagi.

Lebih-lebih lagi, Chong Wei yang mempamerkan semangat juang hebat ketika menumbangkan pemain nombor satu dunia, Srikath Kidambi, di pentas akhir perseorangan lelaki, Newenham optimis dia dan Nicol tidak menunjukkan sebarang petanda akan menggantung raket dalam masa terdekat.

"Mereka jelas mahu terus beraksi dan menjalankan tanggungjawab dengan sangat baik. Untuk seorang pemain yang menghampiri persaraan tetapi menewaskan pemain nombor satu dunia, ia benar-benar hebat, begitu juga dengan Nicol. 

"Jadi, mereka menuju Sukan Asia 2018 dan lebih baik memberi fokus kepada temasya itu berbanding memikirkan tentang perkara lain," katanya.

Selain itu, Newenham turut menyatakan kebimbangan terhadap persembahan atlet olahraga seperti Nauraj Singh Randhawa yang mempamerkan salah satu aksi terburuk dalam kariernya.

Dia akan buat berjumpa dengan jurulatihnya, Alex Stewart, selepas pulang ke tanahair dan mahu Nauraj membuktikan keupayaan sebenar dalam Sukan Asia 2018.

Dalam acara akhir di Gold Coast, Nauraj sekadar melakukan catatan 2.18 meter, jauh daripada rekod kebangsaan 2.30 meter yang dilakukan dalam Kejohanan Terbuka Singapura tahun lalu.

"Dia memahaminya dari sini. Sasaran sebenarnya adalah beraksi baik dalam Sukan Asia dan dia berada di kedudukan terbaik untuk seorang atlet dari Asia. Jadi, kami berharap dia belajar daripada apa yang berlaku di sini.

"Dia harus memastikan dirinya mampu mengikut segala perancangan apabila berada dalam keadaan tertekan. Mungkin dia boleh meraih catatan peribadi terbaik," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen