Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen van Huizen, tidak dapat menerima kekalahan 7-0 pasukannya kepada England dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Sukan Komanwel di Pusat Hoki Gold Coast, pagi tadi.

Meurutnya, Malaysia banyak melakukan kesilapan sehingga memberikan jaringan mudah kepada lawan, dengan dua gol masing-masing daripada Sam Ward dan Mark Gleghorne manakala tiga lagi disumbangkan oleh David Goodfield, Harry Martin dan Phil Roper.

"Memang kami tidak boleh terima kekalahan ini, 7-0," katanya. "Banyak kesilapan mudah, maksud saya, kami memberikan jaringan mudah kepada lawan.

"Apabila masuk ke dalam kejohanan seperti Sukan Komanwel ini, kami sudah menjangka tekanan yang diterima.

"Tetapi tak mengapa, kami akan kembali bersatu dan cuba mendapatkan perlawanan yang baik esok," katanya.

England memberikan asakan sejak awal perlawanan berdepan Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia.

Pemain hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, turut melahirkan kekecewaan selepas perlawanan tersebut.

"Saya rasa ini perlawanan yang teruk," katanya. "Satu permulaan yang tidak baik untuk pasukan kita.

"Jadi, kami akan berusaha untuk perlawanan seterusnya. Itu yang boleh saya katakan."

Malaysia akan kembali ke Pusat Hoki Gold Coast esok bagi aksi seterusnya berdepan Wales.