Dengan lapan hari sahaja lagi sebelum Sukan Komanwel Gold Coast membuka tirai, skuad ragbi tujuh sepasukan Malaysia mendapat sentuhan saat-saat akhir bekas kapten New Zealand All Blacks, Derek Jamie Forbes, untuk memantapkan lagi persiapan skuad negara.

Forbes, yang mesra disapa dengan panggilan DJ Forbes, mempunyai reputasi yang hebat di pentas antarabangsa, antaranya memenangi emas ketika Sukan Komanwel New Delhi 2010.

Justeru, kehadiranya di ibu negara selama seminggu adalah untuk cuba berkongsi pengalaman dan pengetahuan sebelum skuad negara memulakan aksi Gold Coast 2018 pada 14 April ini.

Tidak banyak perubahan yang akan dilaksanakan, sebaliknya Forbes cuba membantu mempertajamkan aspek dan gaya permainan skuad negara menurut perancangan yang telah dibentuk ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Md Noor.

"Saya fikir kumpulan ini sangat baik dan saya meluangkan masa dengan mereka. Saya fikir jurulatih memberi penekanan kepada potensi mereka bagi melihat hantaran dan tangkapan yang cukup baik," kata Forbes.

"Apa yang diharapkan dengan kehadirannya (Forbes) adalah untuk membolehkan kami melakukan dengan lebih baik dalam aspek pertahanan dan serangan," kata kapten pasukan, Mohd Zulkifli Azmi.

Di Gold Coast nanti, cabaran getir menanti Malaysia apabila akan berentap dengan pasukan di ranking kelima dan keenam dunia, Scotland dan Afrika Selatan, selain Papua New Guinea.

Lantaran itu, Saizul mahu anak buahnya mengelak daripada menjadi pasukan belasahan, sebaliknya cuba mencipta kejutan, terutama berdepan Papua New Guinea yang berada di ranking ke-65 dunia.

"Sasaran saya untuk pasukan adalah cuba merapatkan jurang dengan mereka, maksudnya perbezaan skor tidak terlalu jauh.

"Saya melihat pasukan-pasukan (Malaysia) yang pergi ke Sukan Komanwel mendapat skor dengan jurang yang besar. Jadi, kami cuba merapatkannya," kata Saizul.