Pemain skuasy lelaki utama negara, Mohd Nafiizwan Adnan, tampak berdepan ranjau untuk melepasi halangan awal apabila masih belum berpeluang menyesuaikan diri dengan gelanggang pilihannya ketika ini bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, bermula esok.

Nafiizwan lebih gemar beraksi di gelanggang kaca berbanding gelanggang biasa sejak bergelar pemain skuasy negara.

Menurutnya, ia kerana corak permainannya lebih sesuai untuk aksi di gelanggang berkenaan.

Namun, pemain berusia 32 tahun itu masih tidak sempat berlatih di gelanggang itu selepas dua hari menjalani latihan di venue skuasy di Oxenford Studios.

"Setiap pemain ada pandangan yang berbeza. Bagi saya, gelanggang kaca ini lebih sesuai kepada pemain yang bermain menyerang. Saya lebih kepada itu.

"Gelanggang ini lebih melantun, di mana bola berada di udara lebih lama," katanya.

Nafiizwan, selaku pilihan ke-12, akan membuka tirai dalam pusingan kedua menentang Evan Williams dari New Zealand atau Jacob Kelly dari Kepulauan Cayman di gelanggang kaca.

Selain acara perseorangan, dia juga akan beraksi dalam acara beregu bersama Ivan Yuen untuk penampilan ketiganya di pentas Komanwel sejak 2010 di New Delhi, India.

"Saya mahu melakukan yang terbaik, ini adalah Sukan Komanwel kali ketiga saya. Pertama di New Delhi, kedua di Glasgow dan ketiga adalah di sini.

"Jadi, saya mahu melakukan lebih baik berbanding aksi sebelum ini bagi mencari peluang mendapatkan pingat," katanya lagi.