Pemain beregu campuran, Goh Liu Ying, berharap skuad berpasukan campuran mampu mengelak pertemuan dengan India dan England lebih awal bagi memudahkan laluan negara ke peringkat akhir Sukan Komanwel di Gold Coast, bermula Rabu ini.

Cabaran buat pasukan negara mempertahankan pingat emas acara itu sejak 2006 dilihat cukup sukar dengan kebangkitan India di persada badminton antarabangsa.

Selain itu, kualiti England sebagai pencabar tradisi di pentas Komanwel tidak boleh dipadang sepi.

Justeru, Liu Ying tidak berselindung dengan berharap undian selepas peringkat kumpulan tidak akan menemukan salah sebuah pasukan terbabit, terutama di peringkat separuh akhir.

"Saya rasa kami ada peluang untuk berada di tempat teratas dalam kumpulan. Tetapi, kalau suku akhir dan separuh akhir akan lagi sukar.

"Dua pasukan ini (India dan England) sangat kuat, kalau boleh kami mahu elak bertemu salah satu daripadanya," ujarnya.

Memiliki kualiti dalam perseorangan lelaki dan wanita, Liu Ying sudah tentu diharapkan pasukan negara mengutip mata berharga bagi beregu campuran bersama Chan Peng Soon.

Bagaimanapun, Liu Ying meletakkan pasangan India, Pranaav Jerry Chopra dan N. Sikki Reddy, yang berada di ranking 24 dunia mampu menjadi batu penghalangnya dalam meraih rekod bersih jika ditakdirkan bertemu sesama sendiri.

"Tahun ini, mereka baru menang dengan (Tan) Kian Meng dan (Lai) Pei Jing. Walaupun mereka tidak berada di ranking tinggi, kami perlu berhati-hati berjumpa mereka," katanya lagi.