Terbaik! Itu yang dapat digambarkan mengenai kemudahan prasarana dan perkhidmatan yang terdapat di perkampungan sukan untuk penempatan atlet dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Media dari beberapa negara Komanwel hari ini diberi peluang untuk melakukan tinjauan eksklusif ke perkampungan sukan berkenaan.

Ia bagi merasai pengalaman dan melihat dengan lebih dekat lagi semua kemudahan yang dinikmati oleh atlet sepanjang temasya berlangsung.

Perkampungan sukan itu dibahagikan kepada tiga zon, iaitu zon antarabangsa, zon kediaman dan pusat operasi.

Dengan reka bentuk bercirikan warisan budaya penuh berwarna-warni, ia menjadikan perkampungan sukan di Gold Coast cukup eksklusif.

Berkeluasan 29 hektar, perkampungan itu mempunyai 18 bangunan baru dan antara kemudahan yang disediakan adalah kafe, pusat permainan, gimnasium, klinik dan kedai runcit.

Ia memberi pengalaman istimewa kepada atlet dari semua negara yang bertanding, termasuk atlet Malaysia.

"Dengan pelbagai kemudahan yang ada, duduk sini memang tidak bosan," kata atlet lumba basikal negara, Muhd Daniel Haikkal Edy Suhaidee.

Sementara itu, atlet boling padang negara, Azlina Arshad, berkata: "Lain daripada yang lain berbanding destinasi yang pernah saya pergi selama ini, sudah lima kali Sukan Komanwel. Ini memang berbeza, terutama melibatkan warna."

Sementara itu, di zon antarabangsa, ia menjadi tempat atlet bertemu dengan rakan dan keluarga sepanjang temasya berlangsung.