Atlet gimnastik artistik wanita negara, Geanie Ng Ee Ling, agak bergelut untuk menyesuaikan diri dalam suasana saingan sebenar selepas empat hari menjalani latihan untuk menghadapi Sukan Komanwel di Pusat Sukan Tertutup Coomera, Gold Coast.

Ee Ling merupakan atlet yang dipilih pada saat-saat akhir untuk temasya itu apabila menggantikan Tracie Ng yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Dia yang baru berusia 17 tahun tidak menolak perasaan gemuruh makin menguasai diri sebaik sahaja tiba di venue sebenar dan sesi latihan yang berlangsung setakat ini begitu mencabar apabila dikelilingi pesaing dari negara luar yang dilihat lebih konsisten.

Disifatkan atlet yang pemalu oleh jurulatihnya, Ng Shu Wai, Ee Ling hanya mengharapkan dia mampu tampil dengan aksi terbaik agar tidak menjadi penyebab kepada kegagalan rakan sepasukan dalam misi meraih pingat bagi acara berpasukan.

"Ada atlet yang sangat kuat dan membuatkan saya berasa seperti.. tetapi jangan pedulikan mereka.

"Saya hanya perlu melakukan yang terbaik dan fokus ketika membuat persembahan. Saya perlu ikut arahan jurulatih selain berkongsi pendapat dengan rakan senior," katanya.

Sementara itu, Jeremiah Loo -- antara atlet sandaran untuk menamatkan kemarau pingat selepas 12 tahun -- pula hanya ingin bersikap realisitik kerana rutin yang dilakukan bagi acara kekuda berpelana mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi.

"Saya belum pernah bertanding dalam rutin ini. Jadi, saya mahu melakukan yang terbaik pada hari pertama kerana di sinilah saya mahu berada.

"Saya biasa melakukan dalam latihan tetapi belum pernah bertanding dalam rutin ini sebelum ini," katanya.