Skuad gimrama negara sudah mula berasakan bahang dalam Sukan Komanwel apabila terpaksa memanfaatkan masa latihan yang singkat di gelanggang sebenar dengan sebaik mungkin.

Trio gimnas negara, Amy Kwan, Koi Sie Yan dan Izzah Amzan, yang kebiasaannya dilihat mudah melemparkan senyuman, kini tampak lebih serius dan fokus sewaktu ditemui untuk memanaskan badan sebelum dibenarkan menguji gelanggang di Pusat Sukan Tertutup Coomera.

Malah, ia menjadi hari kedua buat mereka bertiga berpeluang untuk berlatih bersama selepas Izzah hanya tiba di Gold Coast, Sabtu lalu.

"Tidak menjadi masalah kerana kami menjalani latihan bersama-sama sewaktu di Malaysia. Kami hanya perlu fokus untuk meraih podium kerana masa yang kami ada agak terhad

"Ia sangat penting tetapi kami giat menjalani latihan sebelum aksi sebenar," ujar pengurus pasukan gimrama negara, Corine Beh.

Prospek pingat emas yang semakin berkurangan buat Malaysia juga menyumbang kepada kemahuan trio itu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa walaupun sedar ia memberikan tekanan tambahan.

"Saya tidak boleh katakan mereka tidak begitu gementar kerana mereka juga manusia biasa.

"Saya percaya mereka akan mengawal diri dengan baik," tambahnya.