Gimrama: Izzah gembira dalam kecewa

Oleh Staff Writer 12 April 2018 747
Gimrama: Izzah gembira dalam kecewa
Itu yang boleh digambarkan gimnas negara, Izzah Amzan, yang terkilan apabila melakukan kesilapan dalam apparatus terakhir bagi acara berpasukan Sukan Komanwel Gold Coast 2018, semalam.
 
Walaupun meraih pingat perak bersama Amy Kwan dan Koi Sie Yan, Izzah tetap terkilan apabila gagal menyempurnakan aksi terbaik dalam apparatus terakhir, iaitu reben, dengan hanya mengumpul 9.8 mata. 
 
Dia melakukan persembahan yang cukup memukau dalam tiga aparatus pertama menerusi gelung, bola dan belantan untuk mereka mengungguli kedudukan pada awal aksi.  
 
Bagaimanapun, dia sedar kesilapannya dalam acara reben menjejaskan kutipan mata, sekaligus menafikan kilauan emas untuk mereka.
 
"Sebenarnya, saya melakukan yang terbaik dalam semua apparatus berbanding Sukan SEA yang lalu dan saya mahu membantu rakan sepasukan. Saya mencicirkan mata menerusi reben," katanya.
 
Atlet berusia 18 tahun itu akan terus memperjuangkan harapan bagi acara final individu esok menerusi apparatus bola dan gelung di samping terus berusaha menghadirkan emas buat negara.
 
"Hari ketiga, iaitu hari terakhir, tentunya semua atlet mahu melakukan yang terbaik. Saya hanya boleh menikmati persembahan ketika beraksi," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen