Walaupun jauh ditinggalkan lawan, pasangan boling padang wanita, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji, mempamerkan aksi penuh dramatik untuk mengecewakan wakil Afrika Selatan melalui kemenangan 15-14 bagi memastikan emas Sukan Komanwel Gold Coast milik Malaysia, hari ini.

Segala-galanya tampak seperti berakhir pada satu ketika buat Siti Zalina dan Emma yang bermula goyah, sekali gus membenarkan juara bertahan dari Afrika Selatan itu mendahului selesa 12-3 selepas end ke-10.

Namun, kekuatan mental gandingan negara itu pada aksi lapan end terakhir menjelmakan detik paling keemasan dalam sukan tanah air untuk bangkit dengan kemenangan 15-14.

Selepas dua emas dalam acara perseorangan pada 2002 dan 2006, ini adalah emas serta pingat pertama buat Siti Zalina ekoran dua kali kecewa di New Delhi 2010 dan Glasgow 2014.

"Saya bercakap dengan Emma, dapatkan satu mata satu end, tetapi kami dapat lebih daripada itu.

"Bagi saya, permainan kami sangat baik hari ini. Kalau ikutkan, sebenarnya persaingan hampir sama tetapi keazaman kami berdua untuk mendapatkan pingat emas sangat dahsyat," kata Siti Zalina.

Bagi Emma, kemenangan ini menebus kehampaan 2014 di Glasgow apabila gagal dalam acara berpasukan di peringkat akhir.

"Saya ikut rentak permainan mereka. Dan apabila saya bertukar tangan barulah nampak bola saya dan mendapati saya berada dalam saingan sebenar," kata Emma.

Jurulatih negara, Simon Botha, melahirkan rasa kagum dengan semangat tidak kenal erti mengaku kalah Siti Zalina dan Emma sambil menyifatkan mereka adalah atlet terbaik pernah dilatihnya.

"Zalina sebenarnya tahu apa yang perlu dilakukan. Emma juga bermain sangat bijak," kata Botha.