Boling padang: Skuad wanita mula langkah kanan

Oleh Staff Writer 10 April 2018 340
Boling padang: Skuad wanita mula langkah kanan
Trio boling padang wanita negara yang diketuai oleh Azlina Arshad bermula garang di awal saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir setelah mencipta dua kemenangan ke atas Kepulauan Norfolk  dan Kepulauan Cook dalam saingan Kumpulan C, semalam.

Azlina, yang merupakan salah seorang pemenang pingat emas acara sama dalam saingan di Melbourne pada 2006, memastikan skuad trio mencipta kemenangan selesa 24-13 ke atas Kepulauan Norfolk dalam perlawanan kedua.

Sebelum itu, dia bersama Auni Fathiah Kamis dan Nur Fidrah Noh dipaksa berusaha keras sebelum menang 20-14 ketika berdepan Kepulauan Cook dalam aksi pertama.

Mereka akan turun berdepan Scotland petang ini bagi menentukan juara kumpulan.

"Kalau boleh saya mahu mengulangi pingat trio ini. Gandingan ini sudah lama beraksi bersama dan kami akan cuba untuk meraih emas," kata Azlina.

"Pada mulanya kami agak gugup, namun aksi dan momentum baru diraih sewaktu pertengahan. Kami akan cuba teruskan walaupun tempat di suku akhir sudah terjamin," tambah Nur Fidrah.

Sementara itu, satu lagi saingan yang melibatkan wakil negara dalam sesi terakhir adalah dalam acara berpasukan lelaki, yang menyaksikan mereka mudah mengetepikan Niue 31-3 dalam aksi sulung Kumpulan C.

"Aksi pada hari ini, keempat-empat wakil kami beraksi dengan baik. Bagi saya, semua pasukan sama tetapi kami meletakkan fokus kepada Ireland Utara dan Namibia," ujar pemain kebangsaan, Mohd Syamil Syazwan Ramli.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen