Skuad berbasikal trek negara tampak meneruskan kemarau kejayaan di Australia apabila mengulangi pencapaian buruk 12 tahun lalu, yang menyaksikan mereka gagal menghadirkan kilauan pingat bagi saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Kali terakhir skuad berbasikal trek negara gagal meraih pingat di pentas Komanwel adalah ketika saingan 12 tahun lalu dan episod itu berulang lagi di Gold Coast apabila tiada sebarang pingat digapai pelumba negara, termasuk juara dunia keirin, Azizulhasni Awang.

Sememangnya ia cukup mengecewakan ketika berbasikal trek menjadi antara sukan yang dicanang untuk menyumbang satu emas dalam edisi ke-21 ini.

"Bagi saingan Sukan Asia, sebelum ini kita hanya melihat kepada perkembangan Azizulhasni tetapi pelumba lain juga menunjukkan aksi yang bagus.

"Saya akan meneruskan usaha untuk Sukan Asia dengan peningkatan beberapa pelumba lain," kata Beasley.

Dalam masa sama, kegagalan ini tampak hadir ekoran masalah kesihatan yang dialami Azizulhasni yang kecundang di tempat terakhir dalam final acara keirin.

Bagaimanapun, ketika pelumba lain juga gagal menyinar, termasuk pelumba sensasi wanita negara, Fatehah Mustapa, Shah Firdaus Sahrom mencetuskan sensasi apabila menumbangkan juara dunia, Matt Glaetzer, dari Australia dalam saringan acara pecut.

Pencapaian bersejarah itu sedikit-sebanyak mengubati kekecewaan peminat berbasikal terhadap prestasi keseluruhan skuad negara di Velodrom Anna Meares.

"Ya, ia membuatkan kami menjadi lebih bagus. Dia baru berusia 22 tahun dan ia menjadi pemangkin buatnya," tambah Beasley.

"Barisan pelumba di sini adalah antara yang terbaik jika dibandingkan dengan Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia dan pelumba lain juga dikecewakan dengan barisan pelumba ini.

"Saya tidak boleh bercakap banyak tetapi saya sudah menewaskan salah seorang daripada mereka," ujar Shah Firdaus.