Skuad futsal lelaki kebangsaan menerima tamparan hebat dalam usaha menempah slot ke Kejohanan Futsal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020.

Ia berikutan skuad kendalian ketua jurulatih, Chiew Chun Yong, itu dijangka berdepan tentangan sengit dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 yang dijadual berlangsung di Vietnam, Oktober ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam entri Facebook hari ini mengesahkan undian semula dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFF, Selasa lepas menyaksikan Malaysia yang merupakan naib juara edisi lalu, diundi bersama juara 2010 Indonesia, Australia dan pasukan tuan rumah, Vietnam.

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan juara 14 kali, Thailand, tidak berdepan masalah mara ke pusingan separuh akhir apabila diundi bersama Myanmar, Timor-Leste dan Kemboja.

Kejohanan itu dijadikan sebagai pusingan kelayakan zon ASEAN bagi Kejohanan Futsal AFC 2020 dengan empat pasukan terbaik layak beraksi secara automatik.

Sebagai rekod, dalam edisi lalu, Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 7-5 dalam saingan kumpulan sebelum mengatasi Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir.

Kedudukan ranking dunia terkini menyaksikan Vietnam berada di kedudukan ke-43 dunia sementara Malaysia di ranking ke-54 dan Indonesia ke-55. Australia tiada di dalam sistem ranking selepas tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan melebihi 24 bulan.

-- BERNAMA