Jaguh futsal wanita negara, Farahiyah Ridzuan, mendedahkan sokongan yang tidak pernah henti daripada keluarga membantunya untuk kekal relevan dalam sukan itu.

Tindakannya menceburi sukan yang lebih sinonim dengan kaum Adam itu pernah mendapat tentangan pelbagai pihak, namun sokongan daripada keluarga membantunya untuk menghadapi setiap dugaan yang melanda.

"Ibu saya banyak memberi sokongan dan menghantar saya ke akademi bola sepak.

"Sebelum ini, saya hanya bermain dengan lelaki dan bukannya wanita.

"Saya tidak kisah walaupun menerima kecaman, mereka menganggap sukan (futsal) terlalu lasak dan hanya untuk lelaki.

"Mungkin mereka tidak faham itu minat saya dan saya meneruskannya sehingga sekarang.

"Saya hanya pernah berhenti bermain kerana kecederaan," katanya dalam temu bual Nadi@1 sebentar tadi.

Pivot utama skuad wanita negara itu tidak dapat beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu gara-gara kecederaan lutut kiri.

Atlet kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengakui dia mengalami kemurungan ketika itu, namun sokongan keluarga membantunya untuk kembali bangkit.

"Masa itu, lagi seminggu hendak Sukan SEA dan saya tidak dapat bermain.

"Malaysia menjadi tuan rumah tetapi saya tidak dapat beraksi.

"Saya berasa sedih dan tidak mahu mengambil tahu tentang apa-apa.

"Keluarga banyak menyokong.

"Ketika saya cedera, saya berasa amat kecewa, namun mereka membantu saya untuk bangkit," tambahnya.

Skuad Futsal negara akan menyertai Kejohanan AFC di Ashgabat, Turkmenistan tahun depan.

Pemain berusia 26 tahun itu bertekad untuk menjadikan kenangan manisnya empat tahun lalu sebagai pemangkin semangat untuk membantu skuad negara.

"Pada 2015, Malaysia meraih tempat keempat dalam Kejohanan AFC di Nilai (Negeri Sembilan).

"Saya pula dinobatkan penjaring terbanyak.

"Saya menjaringkan tujuh gol.

"Kalau terpilih mewakili Malaysia tahun depan, saya akan buat yang terbaik untuk mengharumkan nama negara," katanya lagi.