Tuan rumah, Perak, bermula dengan langkah kanan apabila mengatasi wakil Indonesia, Bank Sumut FC, 2-0 dalam perlawanan pertamanya dalam Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernote Piala Raja Iskandar Dzulkarnain di Stadium Inderta Mulia, Ipoh, sebentar tadi.

Jaringan kapten, Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip, dan Muhammad Firdaus Zulkifli dalam separuh pertama mencukupi buat Perak meraih mata penuh apabila lawan bangkit dalam babak kedua untuk memberi tentangan sengit.

Perak sepatutnya boleh menang dengan jurang lebih besar jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol antarabangsa lawan, Visrut Sirawatjirapong.

Penjaga gol pasukan kebangsaan Thailand itu berjaya menyelamatkan kubunya daripada dibolosi oleh rembatan pemain Perak yang berjaya mencipta banyak peluang terutama dalam babak pertama.

Namun, tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh Visrut untuk menghalang jaringan hasil sepakan terus Muhammad Faizul daripada hantaran lintang rakan sepasukan pada minit ke-10.

Visrut tewas lagi lapan minit kemudian apabila diperdaya oleh Firdaus yang mudah menolak masuk melalui celah kaki pada minit ke-18.

Walaupun Bank Sumut bangkit dalam babak kedua tetapi kekentalan benteng tuan rumah serta dibantu ketiadaan penyudah pasukan bimbingan Qusmaini Noor Rusli itu menjadi faktor kegagalan mereka merobek gawang Perak.


Editor: Nafis Abdullah