Hajat Pahang Rangers untuk meraih kemenangan dalam aksi pramusim saingan futsal Piala Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SAS) tidak kesampaian selepas tunduk 3-1 di tangan Fuchu Athletic di Kuantan, hari ini.

Kejohanan yang membabitkan empat pasukan itu menyaksikan tuan rumah diperkuatkan lapan pemain kebangsaan termasuk dua nama baru, Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi, yang beraksi bersama Pahang Rangers buat kali pertama.

Turun bertemu kelab divisyen satu Liga-F Jepun, Fuchu terlebih dahulu membuka tirai jaringan selepas bersambung suku kedua menerusi Marco Marquinho sebelum Sakai Ryotaro menggandakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-22.

Tujuh minit berselang, Azwann Ismail menggamatkan Stadium Tertutup Sukpa apabila merobek gawang kendalian Tanaka Toshinori untuk merapatkan kedudukan.

Pengendali Pahang, Gerard Casas Ullastre, mengubah percaturan dalam usaha memburu jaringan penyamaan tetapi ia membawa padah apabila gawang tuan rumah yang terbuka membolehkan Sakai melakukan rembatan jarak jauh untuk melengkapkan kemenangan Fuchu 3-1.