TERENGGANU 1 SELANGOR 2

Selangor mengekalkan kedudukan teratas Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) selepas mengalahkan Terengganu 2-1 di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Awal permainan disajikan percubaan tonggak Selangor, Muhammad Azri Rahman, sebelum penjaga golnya, Syaifuddin Syukri Ibrahim, menafikan situasi satu lawan satu dengan pemain Terengganu, Akil Khalis Khairuz.

Pemain gantian, Akmal Yazadh Amri, menjaringkan gol pendahuluan Selangor hasil sepakan dari sudut sukar menewaskan penjaga gol Terengganu pada minit kelapan.

Lima minit kemudian, Selangor berpeluang menggandakan kedudukan, namun usaha Azri dikeluarkan di atas garisan gol oleh pemain tuan rumah.

Hasrat Selangor melebarkan jaringan terhasil pada minit ke-15 melalui rembatan kaki kiri Faris Mohd Johan untuk membolosi pintu gol Luqman Hakim Kadar buat kali kedua.

Terengganu cuba kembali dalam permainan, malangnya gerakan mereka dipatahkan kem pelawat yang menyaksikan rembatan leret Mohd Hafizi Ismail (m-20) tersasar ke sebelah tepi.

Selangor meneruskan dominasi dalam babak kedua dan menambah tekanan kepada tuan rumah tetapi sepakan Shamsul Akram Zamri diselamatkan Luqman pada minit ke-23.

Penyokong tuan rumah hampir diceriakan gol pertama Terengganu melalui Akil Khalis yang bagaimanapun gagal menewaskan Syaifuddin ketika hanya berhadapan penjaga gol itu.

Kesilapan Syaifuddin menjatuhkan Hafizi dihukum dengan Terengganu diberikan penalti yang disudahkan sendiri Hafizi (m-39), namun jaringan itu sudah terlewat buat Terengganu.

Kedudukan 2-1 berjaya dikekalkan Selangor, sekali gus memberikan kemenangan kelima buat skuad bimbingan Addy Shairullyzam Shafiee itu.