SELANGOR 7 PULAU PINANG 2

Selangor bangkit selepas kekalahan pertama dengan beraksi garang ketika membenam Pulau Pinang 7-2 dalam perlawanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) sebentar tadi.


The Red Giants melewati kekalahan pertama selepas tewas 2-4 kepada Pahang di gelanggang lawan Rabu lalu.

Namun, mereka menghasilkan empat gol dalam babak pertama sebelum menambah tiga lagi dalam babak berikutnya sambil satu kad merah kepada Pulau Pinang menghiasi kisah di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.

Shamsul Akmar Zamri dan pivot utama Selangor, Fariq Mohammad, menghasilkan jaringan awal, masing-masing pada minit ke-15 dan 16.

Dua minit kemudian, giliran Fakhrurrozi Awang mencatat nama selaku penjaring sebelum Rushdi Husin memberikan kelebihan empat gol buat skuad Gergasi Merah itu.

Aksi semakin menarik dalam babak beikutnya apabila Ridhwan Zainal menghasilkan gol kelima skuad Gergasi Merah itu pada minit ke-34.

Pulau Pinang semakin parah apabila kehilangan seorang pemain selepas Haziq Yusuf diarahkan keluar gelanggang selepas mengutip kad kuning kedua tidak lama selepas itu.

Kelebihan itu dimanfaatkan Akmal Yazadh untuk menjadikan kedudukan 6-0 seminit kemudian.

Di sebalik kekurangan seorang pemain, Pulau Pinang menghasilkan dua gol berturut-turut yang dimulakan Amar Ashraf pada minit ke-36 dan Nurhafiz Hamid berselang seminit.

45 detik menjelang wisel penamat, Fariq melengkapkan kemenangan besar Selangor untuk memberikan pendahulu liga itu kemenangan kesembilan dalam musim sulung ini.