MELAKA 0 PULAU PINANG 1

Pulau Pinang bertahan daripada 14 percubaan tepat Melaka sebelum meraih kemenangan 1-0 dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.


Melaka menguasai awal permainan, namun sedikit kelekaan membawa padah apabila tonggak Pulau Pinang, Amirul Ismail, meledak gol pada minit ke-11.

Skuad Pulau Mutiara itu hampir menambah jaringan menerusi kapten pasukan, Haziq Yusoff, namun percubaannya tersasar.

Melaka sekali lagi bermula baik dalam babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Syazwan Ashraf yang diselamatkan penjaga gol Pulau Pinang, Idham Osman.

Rembatan jarak jauh Danial Dain turut tersasar di sebelah kiri untuk Melaka akur mengizinkan Pulau Pinang meraih kemenangan kedua musim ini.