PERAK 3 MELAKA 2

Perak merakam kemenangan pertamanya dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 apabila menumpaskan Melaka 3-2 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.


Jaringan Muhammad Firdaus Zulkifl pada minit ke-38 membolehkan Perak mencatat kemenangan sulung selepas lima perlawanan.

Perak seri dua dan tumpas dua perlawanan sebelum ini yang menyaksikan jurulatihnya direhatkan dalam perlawanan tadi.

Sebelum itu, Perak bangkit daripada ketinggalan 1-2 dalam separuh pertama apabila Muhammad Awalluddin Mat Nawi menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

Dalam perlawanan rancak dan sengit itu, tuan rumah membuka jaringan melalui Mohd Ridzwan Bakri pada minit keempat.

Bagaimanapun, Melaka menyamakan kedudukan melalui Muhamad Syazwan Ashraf pada minit ke-10.

Lapan minit kemudian, Muhammad Saad Sani meletakkan pelawat di hadapan untuk memberi kelebihan kepada Melaka.

Ketinggalan, tuan rumah bangkit dan mengenakan tekanan hebat terhadap kubu lawan selepas rehat.

Kesungguhan Perak berhasil apabila berjaya merobek kubu Melaka dua kali untuk mengecewakan pelawat.

Keputusan lain:

PAHANG 7 KEDAH 3

SELANGOR 3 KUALA LUMPUR 3