PERAK 3 KEDAH 3

Kedah bangkit dalam babak kedua untuk mengikat Perak 3-3 dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.


Pasukan Lang Merah yang ketinggalan 3-0 pada satu ketika tenang menghadapi tekanan penyokong tuan rumah, termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Perak yang tumpas 0-5 kepada Selangor dalam memulakan kempennya hujung minggu lalu, tampil dengan azam meraih mata penuh.

Tuan rumah yang pantas menyesuaikan diri dengan suasana gelanggang membuka jaringan melalui Mohamad Awalluddin.

Pemain kebangsaan itu menewaskan penjaga gol Kedah, Muhammad Nashrul Helmy, dua kali dalam tempoh dua minit pada minit ke-11 dan 12 untuk tuan rumah mendahului 2-0 dalam separuh pertama.

Perak mengukuhkan kedudukan melalui sentuhan Muhammad Aidil Shahril pada minit ke-27.

Begitupun, beberapa saat kemudian, Mohammad Shahmi Abdullah Sani merapatkan jurang menjadi 3-1 untuk menyemarakkan kebangkitan pasukan Kedah.

Kedah bertambah semangat apabila Anwar Osman menyempurnakan penalti pada minit ke-29, diikuti gol penyamaan Mohamad Farith Ahmad pada minit ke-35.

Sementara itu, aksi di Stadium Tertutup Sukpa menyaksikan Pahang melakar kemenangan 4-3 ke atas KL City.

Ketinggalan tiga gol di awal permainan, Pahang bangkit menerusi jaringan Abu Haniffa Hassan pada minit ke-15 di samping hatrik yang disempurnakan pemain skuad negara, Saiful Nizam Mohd Ali.