PAHANG 4 SELANGOR 2

Pertemuan di antara dua calon juara menyaksikan Pahang mencalarkan rekod bersih Selangor apabila melakar kemenangan 4-2 dalam perlawanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan hari ini.


Jilka dihimpunkan percubaan tepat kedua-dua pasukan, ia menyaksikan sebanyak 29 terhasil sepanjang perlawanan dengan enam daripadanya menghasilkan gol.

Selangor selaku pendahulu keseluruhan, dibolosi seawal minit pertama bagi membuktikan kegoyahan mereka beraksi di gelanggang pencabar terdekat itu.

Firdaus Ambiah membuka jaringan buat tuan rumah sebelum menggandakannya dua minit kemudian.

Selangor kemudian kembali mencorak rentak sebenar dan ayam tambatannya, Fariq Mohammad, merapatkan jurang sebelum waktu rehat.

Kebangkitan yang diburu The Red Giants dalam babak kedua direncatkan oleh gol ketiga Pahang apabila Norkhairi Abdul Rahman menemui sasaran pada minit ke-22.

Shamsul Akmar kembali merapatkan jurang seminit kemudian, namun Azwan Ismail memusnahkan sisa-sisa harapan Selangor menerusi gol keempat Tok Gajah pada minit ke-37.

Selangor kekal selaku pendahulu dengan 26 mata manakala Pahang, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, di tangga kedua dengan perbezaan satu mata.

Keputusan lain:

PULAU PINANG 3 TERENGGANU 4
MELAKA 8 KL CITY 2
PERAK 4 KUALA LUMPUR 2