KL CITY 2 TERENGGANU 2

Terengganu terpaksa berkongsi mata dengan pasukan tercorot liga, KL City, 2-2 dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.


Anak buah Mohd Rozairi Ahmad itu bermula baik dengan penguasaan permainan yang begitu sempurna dengan corak serangan pantas yang mengakibatkan barisan muda KL City gagal mengekang pergerakan pasukan dari Pantai Timur itu untuk mereka mendahului menerusi jaringan Idham Shafuan pada minit ke-15.

Selang dua minit kemudian, Terengganu dihadiahkan sepakan percuma, namun percubaan Amirul Izad gagal menghasilkan jaringan kedua buat Terengganu.

Bagaimanapun, Terengganu kembali lega apabila Alif Amin berjaya menggandakan jaringan sebelum tamat separuh masa pertama.

Ketinggalan dengan dua jaringan memaksa pembimbing KL City, Jerry Dinesh Pireira, kembali menyusun strategi dan usahanya berhasil apabila Addli Che Hussin mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-32.

Ia diikuti giliran Jaya Prakash Rao menyamakan kedudukan enam minit kemudian, sekali gus membenarkan tuan rumah merekodkan keputusan seri buat kali kedua musim ini.