KUALA LUMPUR 0 KEDAH 2

Selepas enam perlawanan, Kedah akhirnya meraih kemenangan sulung dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.


Kedua-dua pasukan bergelut dalam kelompok bawahan liga dan mendambakan mata penuh bagi memburu kedudukan yang lebih selesa.

Daripada lima perlawanan terakhir, Kuala Lumpur hanya meraih satu kemenangan manakala Kedah pula kempunan menikmati tiga mata daripada empat perlawanan.

Justeru, ia menghadirkan aksi rancak di Shah Alam, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Bagaimanapun, Kedah beraksi lebih mantap untuk membuka jaringan menerusi Aizat Aizuddin pada minit ketujuh.

Tiga minit kemudian, skuad Lang Merah itu menggandakan jaringan menerusi penyudah Nazrin Ramli, yang memberikan tekanan buat Kuala Lumpur untuk memburu jaringan sepanjang babak pertama.

Babak kedua turut memperlihatkan betapa Kuala Lumpur memperoleh deretan peluang, namun dihampakan penjaga gol Kedah, Nashrul Helmy.