Pengendali skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, sedia menghadapi cabaran selepas hanya mempunyai empat hari sebagai persiapan menjelang Kejohanan Futsal Empat Penjuru di Chengdu, China, bulan depan.

Chun Yong mengakui tempoh singkat itu merupakan cabaran besar buatnya, namun dia telah menyediakan persiapan rapi daripada segi program latihan buat anak buahnya.

Apatah lagi, jurulatih itu menyenaraikan tiga muka baru dalam skuad kebangsaan kali ini.

Kejohanan jemputan tersebut menjadi medan buatnya menilai aksi pemain menjelang Kejohanan Futsal AFF Vietnam 2019, Oktober depan.

"Saya akan cuba menggunakan sebaik mungkin latihan selama empat hari dalam memastikan barisan pemain negara dapat menyesuaikan diri dengan perancangan yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Chun Yong berharap barisan pemain bebas daripada kecederaan apabila anak buahnya turut akan menyertai pasukan masing-masing untuk perlawanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) pada setiap hujung minggu dalam tempoh berkenaan.

"Kecederaan sesuatu yang tidak boleh dielak dan saya berharap mereka dapat turun beraksi dalam kejohanan akan datang."