Empat muka baru bakal memperkuatkan skuad kendalian ketua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, dalam Kejohanan Futsal AFF 2019 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, bermula Isnin ini.

Saad Sani, Shamsudin Akmar, Fariq Mohammad dan Farikh Khabibor Rahman menjadi pilihan pengendali itu selepas dua aksi ujian minggu ini dengan New Caledonia yang memihak pasukan negara 5-0 dan 6-1 sambil nama ketua pasukan, Khairul Effendy Bahrin, tercicir ekoran kecederaan.

Untuk layak ke separuh akhir, skuad kebangsaan perlu sekurang-kurangnya meraih dua kedudukan teratas Kumpulan B sementara akan membuka tirai kejohanan dengan bertemu Indonesia, disusuli Australia dan Vietnam.

"Kami telah mengharungi dua perlawanan persahabatan yang bagus untuk membolehkan saya menilai tahap persembahan pasukan dan juga kelemahan-kelemahan yang perlu dikenal pasti.

"Secara keseluruhannya, saya memiliki keyakinan biarpun ada ruang yang perlu diperbaiki barisan pemain," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.