Pengendali skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, optimis Malaysia mampu berada dalam kelompok 50 dunia menjelang penghujung tahun ini, sekali gus bakal menjadikan kedudukan terbaik skuad negara dalam ranking antrabangsa.

Skuad kebangsaan memanjat satu lagi anak tangga untuk berada di kedudukan ke-52.

Ia peningkatan yang cukup drastik sejak Chun Yong mengambil alih tugas berkenaan pada 2016.

Bagaimanapun, keputusan muncul juara dalam Kejohanan Empat Penjuru Piala Antarabangsa Belt Road di China, Rabu lalu, masih belum diambil kira selain anak buahnya juga masih berbaki satu lagi kejohanan utama, iaitu Kejohanan Futsal AFF, yang bermula 21 Oktober depan.

Justeru, Chun Yong yakin skuad bimbingannya mampu memanjat ke kelompok lebih tinggi menjelang hujung tahun ini.

"Sudah tentu kami seronok melihat ranking negara meningkat tetapi bagi saya, persembahan adalah kunci utama.

"Saya sangat percaya kalau mereka terus menunjukkan persembahan mantap seperti ini, ranking negara mampu melonjak dalam kelompok 40 terbaik.

"Ini adalah sebahagian daripada perancangan saya," katanya.

Dalam masa yang sama, bekas jurulatih Thailand Bangkok Thonburi University itu cukup optimis dengan barisan pemainnya dalam persediaan Kejohanan AFF tahun ini dan dalam masa yang sama, cuba untuk memadamkan badi berikutan muncul naib juara dua kali berturut-turut setelah tumbang kepada lawan sama merangkap juara 14 kali, Thailand.

"Pemain semua tahu undian kumpulan kami bukannya mudah.

"Setiap perlawanan ibarat perlawanan akhir. Saya sudah mula menerapkan mentaliti ini, tiada perlawanan yang boleh dipandang rendah."

Dalam kejohanan di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam itu, skuad negara akan membuka tirai perlawanan berdepan Indonesia sebelum bertemu Australia, disusuli aksi menentang tuan rumah.