Farahiyah Ridzuan, yang baru kembali beraksi tahun ini selepas pulih daripada kecederaan lutut kiri cuba memulihkan keyakinannya.

Pemain futsal wanita negara itu, yang dilanda kecederaan lutut kiri dalam satu perlawanan persahabatan ketika seminggu lagi sepak mula Sukan SEA 2017, kini sudah pulih sepenuhnya apabila kembali beraksi bersama pasukan barunya, Perak, dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) Wanita 2019.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu mengakui masih belum mampu mengerah kudrat 100 peratus kesan daripada kecederaan itu selain bimbang ia berulang.

"Alhamdulillah, saya baru pulih daripada kecederaan.

"Saya baru mewakili pasukan baru, Perak, dan setakat ini, saya belum mendapat (rentak) seperti sebelum ini sebab masih takut-takut lagi (untuk beraksi).

"Saya akan terus berusaha lagi tahun depan untuk buang sifat itu," katanya.

Justeru, dia kini menumpukan aspek kecergasan ketika latihan bagi merebut peluang kembali beraksi buat skuad negara tahun depan.

"Kalau terpilih, saya akan buat yang terbaik.

"Saya akan perbanyakkan lagi latihan kerana belum dapat mengembalikan rentak terbaik," tambahnya.

Dalam saingan liga Malaysia musim ini, pasukan diwakilinya itu meraih tempat ketiga di belakang Selangor dan Kuala Lumpur yang muncul juara.