Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menangguhkan saingan Piala Futsal Malaysia 2019 ke tahun depan.

Penangguhan kejohanan kali pertama itu terkandung dalam surat siaran yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang bertarikh semalam.

Menurutnya, penangguhan itu dibuat berikutan masalah gelanggang dan kewangan yang dihadapi kebanyakan pasukan.

"Berdasarkan maklumat serta pengesahan diperoleh daripada banyak pasukan, FAM mendapati banyak pasukan menghadapi masalah gelanggang dan kewangan.

"Sebagai badan induk, kami bertanggungjawab dan memperakui masalah yang membelenggu sebahagian daripada pasukan meskipun sedar potensi besar kejohanan yang baru mahu diperkenalkan ini," katanya.

Dalam masa sama, dia juga berkata kejohanan itu ditangguhkan ke tahun 2020 dengan harapan mendapat penyertaan yang baik.

Piala Futsal Malaysia ini adalah pertandingan yang baru diperkenalkan membabitkan lapan pasukan terbaik daripada Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019.

Pasukan-pasukan yang berada dalam senarai pertandingan adalah Selangor, Pahang, Terengganu, Perak, Kuala Lumpur, Kedah, Melaka dan Pulau Pinang.

Kredit foto: FAM