Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, optimis Malaysia mampu berada dalam kelompok 50 pasukan terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Skuad negara memanjat satu lagi anak tangga untuk kini berada di kedudukan ke-52 ranking dunia.

Ia peningkatan yang cukup drastik sejak Chun Yong mengambil alih pasukan itu pada 2016.

Bagaimanapun, kejuaraan dalam Kejohanan Piala Antarabangsa Belt and Road di China baru-baru ini masih belum diambil kira dan skuad negara juga masih mempunyai satu lagi kejohanan utama, iaitu Piala Futsal AFF bulan depan.

Dengan situasi itu, Chun Yong yakin skuad negara mampu melonjak ke kedudukan lebih tinggi menjelang hujung tahun ini.

"Sudah pasti kami gembira apabila ranking meningkat tetapi bagi saya, kunci utama adalah prestasi skuad negara.

"Saya percaya jika skuad negara mengekalkan prestasi seperti ini, ranking boleh melonjak hingga bawah 50.

"Ia salah satu daripada perancangan saya," katanya.

Dalam masa sama, dia yakin barisan pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi Piala AFF selepas muncul naib juara dalam dua edisi terdahulu -- tewas kedua-duanya kepada juara 14 kali, Thailand.

"Semua pemain tahu (saingan dalam) kumpulan kami bukannya mudah.

"Kami sedang bersedia untuk bertemu setiap lawan seperti perlawanan akhir.

"Setiap perlawanan di peringkat kumpulan adalah perlawanan final buat kami.

"Itulah mentaliti yang saya pupuk bersama mereka ketika ini.

"Tiada perlawanan yang akan kami ambil mudah," tambahnya.