Skuad futsal negara berdepan cabaran getir untuk mengharungi Kejohanan Futsal Antarabangsa Thailand awal bulan depan apabila pengendalinya, Chiew Chun Yong, bakal kehilangan dua tonggak utama, Khairul Effendy Bahrin dan Azwann Ismail ekoran kecederaan.

Menjelang saingan yang bakal berlangsung di Songkhla dari 2 hingga 8 Februari ini, Chun Yong terpaksa menelan pahit apabila Khairul Effendy serta Azwann tidak dapat diturunkan.

Dua tonggak negara yang beraksi bersama skuad Pahang bagi saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) itu tidak akan terlibat dalam saingan yang bakal menyaksikan Malaysia berdepan lawan seperti Iraq, Qatar, Kuwait dan Turkmenistan apabila diundi dalam kumpulan yang sama.

"Setakat ini, setiap pemain berada dalam keadaan yang baik, cuma dua kelibat utama, Khairul Affendy dan Azwann, yang mengalami kecederaan. Buat masa ini, mereka masih dalam proses pemulihan," kata Chun Yong.

"Beraksi di Songkhla, kami meletakkan sasaran yang tinggi untuk melangkah ke separuh akhir. Kami tidak ke sana untuk sekadar melengkapkan jadual, namun terdapat tujuan utama yang mahu dicapai."




Editor: Ammar Hakim