Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, berdepan tugas sukar apabila hanya mempunyai tempoh kurang tiga hari sahaja untuk menyediakan barisan terbaik bagi menghadapi kejohanan jemputan di China bermula Khamis ini.

Seramai 14 pemain mula melaporkan diri hari ini untuk sesi latihan pertama skuad negara sebelum terbang ke Chengdu, China, Khamis ini.

Chun Yong masih menanti baki enam pemain daripada skuad Melaka yang masih berdepan perlawanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), sekali gus bermakna pengendali itu hanya memiliki tempoh 56 jam untuk membuat penilaian.

Ia termasuk dua hari sesi latihan serta sehari untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum memilih 16 pemain terbaik bagi dibawa mengharungi kejohanan itu.

"Setakat ini, saya tidak melihat sebarang kecederaan serius tetapi apa yang merisaukan saya adalah pemulihan pemain selepas perlawanan. Saya perlu memantau sama ada mereka cukup segar dan cergas, jadi saya boleh ubah latihan sebelum membawa 16 pemain ke China," katanya.

Biarpun hanya kejohanan jemputan, Chun Yong meletakkan penanda aras yang tinggi buat anak buahnya untuk muncul juara biarpun dia memberi bayangan akan menggunakan gandingan eksperimen berdasarkan beberapa muka baru yang dipanggil kali ini.

"Walaupun tidak ditetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI), kami perlu mara ke final kerana mana-mana kejohanan yang kami sertai, kami perlu mara jauh. Ia juga menjadi medan untuk melakukan eksperimen dan menguji strategi baru menjelang Kejohanan AFF."