Majlis Sukan Negara (MSN) memberi masa sekurang-kurangnya dua bulan kepada Persatuan E-Sukan Malaysia bagi membentuk penstrukturan sewajarnya selepas sukan itu bakal ditawarkan pingat dalam Sukan Asia 2022.

E-Sukan kini dianggap sebagai sukan yang lebih serius apabila ia bakal dipertandingkan bukan sahaja di pentas Sukan Asia 2022, malah berkemungkinan besar dalam Sukan Olimpik 2024.

Justeru, perbincangan lebih terperinci dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN dan Persatuan E-Sukan untuk presidennya, Datuk Latt Shariman Abdullah, merangka struktur terbaik khususnya daripada segi pemilihan pemain.

Antaranya adalah dengan mengadakan kejohanan kebangsaan terlebih dahulu bagi mengenal pasti pemain yang selayaknya mewakili negara.

"Mereka perlu memperkukuhkan lagi struktur organisasi persatuan serta mendapatkan pengkhususan mengenai corak permainan serta peraturan yang diperlu ditetapkan" kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Latt Shariman menganggap ini adalah cabaran baru yang harus dipikul kerana masa begitu terhad untuk mereka menyelaraskan struktur yang sepatutnya.

Seminar E-Sukan menjadi perancangan awal yang dijangka berlangsung pada Februari tahun depan.

"Untuk menjalankan penganjuran pertandingan E-Sukan pada peringkat kebangsaan adalah satu tugas yang sukar kerana memiliki acara yang sangat banyak. Kami perlu meneliti perkara ini dengan lebih terperinci dalam seminar yang akan diadakan pada Februari depan," kata Latt Shariman.