Penganjuran Liga Sukan Elektronik (e-sukan) "Dota 2" kompetitif pertama negara dilihat sebagai tiba tepat pada waktunya ketika sukan ini mula mendapat pengiktirafan badan sukan dunia, sekaligus membantu dalam mendominasi saingan elit "The International".

Malaysia beruntung memilki atlet e-sukan berstatus jaguh antarabangsa, namun masih tiada platform kejohanan yang setaraf dengan reputasi mereka sehingga hari ini.

Malaysia kini boleh berbangga dengan penganjuran Liga E-Sukan Malaysia (MESL) yang merupakan inisiatif daripada pihak Mineski Events Team.

"Matlamat utama kami adalah untuk meramaikan lagi peserta negara di peringkat antarabangsa.

"Tahun ini kita hanya mempunyai empat peserta sahaja," kata Pengarah Urusan Mineski, Kenchi Yap.

"Sukan ini mempunyai masa depan yang cerah, saya ingin mewakili negara dengan jersi Harimau," tambah atlet e-sSukan profesional negara, Chong 'Ohaiyo' Xin Khoo.

E-sukan akan dipertandingkan dalam Sukan Asia bermula edisi 2018 dan kini golongan yang digelar 'gamers' ini akhirnya berupaya mencapai impian mewakili Malaysia sebagai atlet dalam temasya itu.

Lebih mengujakan apabila liga yang akan bermula September ini akan disiarkan menerusi saluran eGG dan mendapat liputan meluas daripada pihak Astro.

"Sama ada atlet elektronik atau tradisional, hanya dengan cara mengambil bahagian dan bersaing akan mampu membina kemahiran.

"Kami memberi sokongan penuh untuk ia sebahagian daripada DNA kita untuk terus mengembangkan sukan ini dan atlet di Malaysia," kata Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Chong Kay.