Berita baik buat semua peminat sukan elektronik (E-sukan) di Malaysia apabila buat julung kalinya, saluran Astro EGG 808 akan bekerjasama dengan Moonton untuk mewujudkan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) buat penggemar permainan itu dengan hadiah keseluruhan USD100,000 (RM420,030) menjadi rebutan.

Ia bakal menjadi liga profesional dengan permainan khusus buat penggemar E-sukan di Malaysia dan Singapura.

Sebuah pasukan boleh mendaftar seramai enam ahli dan mereka perlu mengharungi pusingan kelayakan dan hanya lapan pasukan akan mara ke pusingan akhir dengan format pertandingan dijalankan dalam bentuk liga.

"Menerusi rangkaian EGG, kami mahu membina komuniti dalam peminat E-Sukan. Dari situ, kami akan mendapat banyak kerjasama dengan pembina (permainan)," kata Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Chong Kay.

Turut menarik perhatian adalah kehadiran pemain handalan Asia, Wong Hock Chuan, yang dilantik menjadi duta kejohanan itu, yang menyifatkan ia platform terbaik untuk pemain amatur menempa nama menjadi profesional sepertinya.

"Kejohanan ini mampu mencungkil lebih ramai pemain baru dalam kalangan peminat di Malaysia dan Singapura. Jika mereka berjaya, ia bakal menarik perhatian pihak luar untuk berkelana ke pasukan antarabangsa," katanya mengenai kejohanan yang bakal bermula pada 24 November ini.

Pusingan akhir, yang akan dilangsungkan selama tiga hari, Mac depan, dapat ditonton secara langsung di saluran Astro EGG.

Kepada yang berminat, pendaftaran akan dibuka pada 14 November ini di laman sesawang, www.mpl.mobilelegends.com.