Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM) mahu lima atlet negara mengambil serius Kejohanan Pro Evolution Soccer (PES) 2018 di Bangkok dan play-off E-Piala Dunia di Barcelona untuk dijadikan penanda aras bagi terus mewakili negara dalam Sukan Asia 2022.

Presiden ESM, Datuk Latt Shariman Abdullah, yang masih lagi dalam proses memilih atlet terbaik bagi persiapan ke Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik, menuntut atlet sedia ada supaya terus konsisten mencabar diri mereka beraksi dalam dua temasya penting itu.

Selepas sukan elektronik ditawarkan pingat di pentas Sukan Asia 2022, ESM lebih serius dalam mengendalikan program terbaik bagi mengenal pasti acara-acara yang bakal dipertandingkan.

Ahmad Ramli Hamsni, Norameen Burhanuddin, Khairul Amin Shamsudin dan Mohd Hafeez Sharifuddin bakal beraksi di Bangkok pada 20 dan 21 Januari ini sementara Luqman Haziq Hajiman muncul wakil tunggal negara yang layak ke Barcelona buat julung kalinya dalam sejarah negara.

"Kami menjalin kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengenal pasti atlet bagi membentuk skuad sukan ini.

"Ini kerana E-sukan ini merangkumi banyak acara," kata presiden ESM itu.

Bagi Luqman pula, dia tidak berasa kekok untuk menghadapi pendedahan pertamanya dalam E-Piala Dunia dengan berkata: "Peluang saya agak seimbang sebab di sana nanti, kami akan menggunakan format baru.

"Jadi, peluang untuk saya menang itu tetap ada asalkan saya melakukan yang terbaik. Saya akan buktikan saya yang paling hebat."