Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah bagi edisi sulung E-Perlumbaan Grand Prix (GP) SEA, bulan depan dengan sasaran mengembangkan potensi pelumba di alam maya untuk menjadi bintang dalam sukan permotoran.

Kejohanan E-Perlumbaan GP Hong Kong tahun lalu telah menginspirasikan pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong, untuk memperkenalkan pertandingan itu di rantau Asia Tenggara dan membangunkan sukan e-perlumbaan dengan matlamat mentransformasikan pelumba alam maya menjadi jagoan di litar sebenar.

"E-Perlumbaan GP SEA adalah platform terbaik buat pelumba alam maya untuk membuktikan bahawa
mereka boleh menjadi jaguh dalam sukan permotoran," katanya.

Pelumba alam maya di platform PlayStation boleh meningkatkan kebolehan mereka untuk menjadi pelumba kereta profesional.

Seramai 40 peserta terbaik akan mendapat latihan daripada jurulatih profesional dengan misi menjadi pelumba sebenar.

"Peningkatan ketara e-sukan di rantau ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk e-perlumbaan menjadi antara permainan video terbesar di dunia.

"Untuk rekod, e-sukan telah diiktiraf dan disenaraikan dalam Sukan Asia.

"Saya berharap permainan video akan dikenali sebagai sukan selepas ini," tambahnya.

Axle Motorsport juga menjadi rakan strategik bagi industri permotoran di rantau ini untuk membimbing
industri e-perlumbaan daripada permainan video kepada industri sukan permotoran.

Ia juga adalah satu inisiatif serantau untuk membantu pelumba berbakat menjadi bintang sukan permotoran pada masa depan.

E-Perlumbaan GP SEA akan berlangsung di Malaysia sebelum ke Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand.

Pemenang dalam setiap pusingan akan dilatih dan mendapat tempat dalam Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) sebagai medan persiapan untuk menjadi pelumba profesional.