Bekas penjaga gawang Bayern Munich, Oliver Kahn, berkata ketua jurulatih kelab itu, Carlo Ancelotti, berada dalam pemantauan pada tahun ini dan memberi amaran kepada kelab mengenai keperluan berbelanja besar untuk kekal dalam kelompok elit.

Bayern mengekalkan rentetan kejuaraan Bundesliga buat kali kelima di bawah kempen pertama kendalian Ancelotti musim lalu, namun tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat suku akhir selepas kalah 6-3 secara agregat kepada Real Madrid yang kemudian muncul juara.

Pengendali Itali itu mengharungi kempen pra-musim ini dengan tidak begitu meyakinkan di mana mereka juga kalah menerusi penentuan sepakan penalti kepada Borussia Dortmund awal bulan ini selepas seri 2-2 dalam perebutan Piala Super DFL.

Biarpun mereka menjinakkan pasukan divisyen tiga, Chemnitzer, 5-0 dalam DFB-Pokal, Kahn sedar Ancelotti masih perlu membuktikan kemampuannya di Jerman di sebalik rekod menariknya di AC Milan, Chelsea, Paris Saint-Germain (PSG) dan Madrid.

"Sudah tentu Carlo Ancelotti di bawah pemantauan," katanya kepada Kicker.

"Penanda arasnya adalah Liga Juara-Juara seperti juga pengurus terdahulu, Pep Guardiola, selain tugas untuk memberi peluang kepada pemain muda ke dalam skuad utama."

Susulan daripada keputusan kurang memberangsangkan dalam aksi pemanas badan apabila tewas kepada Napoli, Liverpool, Inter dan AC Milan, Kahn berkata: "Berdasarkan pengalaman saya, persiapan kali ini kurang meyakinkan dan akan terbawa-bawa pada musim ini."

Bayern memecah rekod pembelian dengan mengikat Corentin Tolisso dari Lyon dengan yuran €41.5 juta (RM209j) pada Jun lalu serta meminjam James Rodriguez selama dua tahun dari Real Madrid.

Begitupun, usaha mendapatkan Tolisso dianggap masih kecil berbanding belanja yang dikeluarkan oleh PSG bagi mendapatkan Neymar dari Barcelona.

Dengan Presiden Bayern, Uli Hoeness, menganggap pasaran pemain terlalu mahal, Kahn sebaliknya menyuarakan bekas kelabnya itu perlu bersedia meningkatkan perbelanjaan untuk terus kekal kompetitif dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Jika Bayern mahu berada dalam kalangan empat pasukan terbaik Eropah, mereka perlu terlibat dalam perpindahan bernilai tinggi," katanya lagi.

Kahn turut berpendapat dominasi Bayern dalam Bundesliga juga akan menyukarkannya untuk mendapatkan pemain bertaraf bintang.

"Saingan liga tidak lagi seimbang," katanya.

"Jika kancah Jerman tidak lagi istimewa, sebagai pemain saya berasa tidak lagi seronok. Sebab itu kancah ini perlu sengit.

"Di Sepanyol dan England, pasukan pilihan berusaha keras untuk meraih kejuaraan."

Bayern akan memulakan kempen Bundesliga bertemu Bayern Leverkusen di tempat sendiri, awal pagi Sabtu ini.