Penolong jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola, berkata Ole Gunnar Solskjaer telah melakukan tugas yang baik selepas mengambil alih Manchester United.

United melakar 10 kemenangan dan satu seri dalam 11 perlawanan pertama di bawah pimpinan pengendali sementara itu sebelum tewas 2-0 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) di laman sendiri.

Mereka mempamer peningkatan selepas Jose Mourinho dipecat Disember lalu, sekali gus berjaya memintas Chelsea dan Arsenal untuk menghuni tangga keempat dengan mengumpul 51 mata.

Mereka turut menyingkirkan Arsenal 3-1 daripada saingan Piala FA di Stadium Emirates bulan lalu dan bakal berdepan Chelsea di Stamford Bridge untuk menempah slot ke suku akhir.

Zola gembira menyaksikan bekas penyerang itu berjaya memberikan impak positif dalam tugas yang sangat sukar bersama United.

"Saya sangat gembira. Saya mengenali Solskjaer kerana kami mengambil kursus bersama-sama dan saya sangat gembira beliau melakukan tugas dengan baik di United.

"United tidak memiliki permulaan musim yang baik tetapi saya menyedari nilai pasukan itu dan kini mereka telah mula menonjolkan kebolehan sebenar.

"Apa yang dilakukan Solskjaer dalam tempoh singkat ini merupakan sesuatu yang menakjubkan. Beliau seorang yang bijak dan fokus kepada tugas yang telah diberikan.

Di sebalik tewas kepada PSG, Zola percaya pemain-pemain United sedang menikmati bola sepak, sekali gus menghadirkan masalah buat pasukan lawan.

"Berdepan United akan menjadi satu perlawanan yang berkualiti. Ia merupakan cabaran yang diperlukan Chelsea buat masa ini.

Chelsea meletakkan sasaran untuk sekali lagi menewaskan United dalam saingan Piala FA -- kali terakhir mereka melakukannya ialah ketika mengatasi The Red Devils 1-0 dalam aksi final musim lalu -- tetapi Zola mengakui beliau tidak senang berdepan United ketika di bawah kendalian Alex Ferguson.

"Saya sentiasa tidak senang berdepan United ketika dipimpin Ferguson tetapi saya menghormati beliau.

"Beliau gemar menggunakan Gary Neville untuk mengawal pergerakan saya. Ia menyukarkan permainan saya kerana Neville merupakan pertahanan yang berkualiti."