Zinedine Zidane mempertahankan gaya permainan Real Madrid sambil menegaskan bahawa dia tidak akan mengubah kaedah bimbingannya di sebalik kritikan baru-baru ini.

Nacho Fernandez muncul wira pasukannya dalam kemenangan 1-0 ke atas Real Valladolid kelmarin untuk Madrid memenangi perlawanan LaLiga ketiga berturut-turut selain mendahului Barcelona dengan tiga mata di puncak liga.

Tiada satu pun daripada enam gol Madrid dalam kancah liga sejak awal tahun ini diledakkan oleh penyerang, bahkan mereka bergelut untuk mencipta peluang dalam pertembungan di Estadio Jose Zorrilla itu.

Begitupun, pengendali dari Perancis itu, yang baru-baru ini mengakui bahawa dia mungkin bernasib baik sebagai pengurus, gembira melihat pasukannya itu terus mencatat kemenangan.

"Saya tidak fikir (penyokong di) Bernabeu akan menerima (corak permainan) seribu hantaran tanpa membuat sebarang percubaan," katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

"Setiap orang mempunyai gaya permainan yang tersendiri. Saya sendiri pernah beraksi di Bernabeu dan apa yang ingin dilihat oleh peminat ialah usaha yang ditonjolkan di atas lapangan. Ia akan kekal seperti itu.

"Apabila peminat mahu pasukan memerah keringat demi jersi ini, akhirnya itulah perkara paling penting kerana anda tidak boleh selalunya menang.

"Saya selalu mengatakan perkara yang sama -- saya tidak akan mengubahnya. Yang paling penting ialah kelab ini memberi peluang kepada saya untuk mengendalikan barisan pemain ini dan saya sangat beruntung untuk berada di sini.

"Dua bulan lalu, keadaan tidak begitu baik dan terdapat banyak kritikan -- hakikat itu tidak akan berubah. Apa yang kami mahukan ialah meneruskan usaha."

Madrid belum kalah dalam 19 perlawanan menjelang kunjungan ke Real Zaragoza dalam pusingan 16 Copa del Rey awal pagi esok.

Los Blancos hanya pernah menjulang gelaran itu dua kali sejak 1993, justeru Zidane terdesak untuk memperbaiki pencapaian itu.

"Saya tidak fikir ia adalah kerana kekurangan motivasi," katanya. "Saya fikir motivasi itu sangat tinggi.

"Kita harus menerima hakikat bahawa Madrid telah memenangi 13 kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) dan kami mahu mengubah sejarah kami dalam Copa del Rey.

"Zaragoza akan memberi kesukaran kepada kami. Kami mahu mencurahkan segala kudrat di padang, kami tidak akan terkejut dengan mereka kerana kami tahu ia akan menjadi sukar -- selalunya begitulah."

Gareth Bale kembali menjalani latihan penuh semalam selepas tidak dapat dipertaruhkan dalam kemenangan ke atas Valladolid hujung minggu lalu ekoran masalah pergelangan kaki sementara Eden Hazard dan Marco Asensio terus berlatih secara berasingan daripada pasukan.

Ditanya sama ada Bale boleh kembali dalam aksi pertengahan minggu ini, Zidane berkata: "Saya mempunyai senarai pemain dan anda akan melihatnya kelak. Semua pemain boleh diturunkan.

"Hazard telah mula berlatih di padang tetapi bukan bersama pasukan. Minggu ini kami akan melihat bagaimana dia menguruskan pemulihannya.

"Sebelum menyerang, kami mesti bertahan dan bersungguh-sungguh. Kami melakukannya dengan baik tetapi anda perlu sentiasa bersedia untuk membuktikannya."



Editor: Shaiful Shamsudin